EPF Earns RM7.74 Billion For 1Q 2012

Posted by Kris | Wednesday, June 13, 2012 | 0 comments »



Interesting article from KWSP. Hopefully, we get a higher dividend for this year since KWSP's investment return has increased as much as 18.52% for 1Q 2012. Another interesting fact is that quarterly, we aka the  EPF depositors put in RM4 Billion. Wow.that is a lot of money
 
KWSP Catat RM7.74 Bilion Pendapatan Pelaburan Untuk S1 2012


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan pendapatan pelaburan sebanyak RM7.74 bilion untuk suku tahun pertama 2012 (S1 2012), meningkat RM1.21 bilion atau 18.52 peratus berbanding pendapatan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengenai prestasi pelaburan S1 2012 yang belum diaudit, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tan Sri Azlan Zainol berkata, “Prestasi pelaburan KWSP dipacu terutamanya oleh keuntungan daripada ekuiti dengan memanfaatkan pasaran ekuiti yang positif melalui aktiviti pengambilan untung pada suku tahun ini. Keputusan ini menunjukkan kejayaan pendekatan pelaburan KWSP yang aktif dan berdisiplin yang membolehkan KWSP bertindak terhadap peluang yang diperolehnya.”

Pendapatan pelaburan Ekuiti untuk S1 2012 berjumlah RM3.62 bilion, meningkat 12.08 peratus daripada RM3.23 bilion pada S1 2011.

Sebagai perbandingan, penyumbang pendapatan kedua terbesar Pinjaman dan Bon memperoleh RM2.49 bilion dalam pendapatan pelaburan pada S1 2012 berbanding RM1.77 bilion pada tempoh yang sama 2011. Salah satu transaksi pelaburan terbesar KWSP sepanjang suku tahun ini termasuk langganan sukuk global yang dikeluarkan oleh PLUS Berhad berikutan penswastaan PLUS Expressways Berhad pada Disember 2011.

Bagaimanapun, Tan Sri Azlan berkata, “Dengan sebahagian besar aset KWSP dalam instrumen berpendapatan tetap berisiko rendah dengan pulangan yang rendah, memaksimumkan pulangan bukannya satu tugas yang mudah. KWSP perlu melabur semula aset yang telah matang yang sebelum ini memberikan pulangan lebih tinggi, dengan mengambil kira keseimbangan antara memperoleh keuntungan lumayan dan pelaburan selamat berpandukan selera pulangan risiko sebagai sebuah dana persaraan.”

Setakat 31 Mac 2012, aset pelaburan KWSP meningkat RM38.28 bilion kepada RM488.54 bilion daripada RM450.26 bilion pada 31 Mac 2011. Jumlah caruman RM12.74 bilion diterima pada S1 2012 melebihi jumlah amaun pengeluaran sebanyak RM8.42 bilion, menjadikan aliran dana masuk bersih RM4.32 bilion.

“KWSP menjangkakan aliran caruman bersih yang konsisten dan stabil sebanyak RM4 bilion pada setiap suku tahun selaras dengan peningkatan bilangan ahli KWSP. Strategi mempelbagaikan pelaburan secara global adalah penting berikutan kekangan pelaburan domestik terutama dari segi produk pelaburan yang terhad dan kecairan untuk diniagakan dalam jumlah yang besar dengan pasaran tempatan yang begitu kecil untuk menyerap semua pelaburan KWSP,” kata Tan Sri Azlan.

Pada akhir S1 2012, jumlah pelaburan luar negara KWSP ialah 13.96 peratus daripada jumlah kos pelaburan. Sepanjang suku tahun yang dikaji, tambahan USD1.2 bilion pelaburan dibuat dalam ekuiti dan hartanah global.

“Sebagai tambahan kepada pegangan ekuiti global, KWSP merancang untuk meningkatkan pelaburan luar negara dalam hartanah dan infrastruktur serta sukuk dan bon konvensional, dengan mengambil kira peluang yang baik, pergerakan dan arah pasaran. Secara beransur-ansur KWSP akan meningkatkan pendedahan luar negara kepada 18 dan 19 peratus daripada jumlah pelaburannya pada akhir tahun,” kata beliau.

Seterusnya, Tan Sri Azlan meyakinkan ahli bahawa KWSP berhati-hati dan amat memilih pelaburannya dalam pasaran global dan hanya melabur selepas kajian teliti dibuat serta dalam mandat dan negara yang dikenalpasti sesuai mengikut profil pulangan risiko KWSP.

“Peralihan kepada aset antarabangsa tidak bermaksud KWSP mengalih pelaburan domestiknya ke luar negara. Ini kerana aset domestik dari segi amaun sebenar telah dan akan terus mengalami pertumbuhan purata positif sekitar 4 peratus setahun,” kata beliau.

Mengulas mengenai prestasi keseluruhan bagi tahun ini, Tan Sri Azlan berkata, “Ketidaktentuan yang melanda ekonomi global, terutama krisis hutang negara di Eropah, akan terus memberikan kesan kepada prestasi pelaburan KWSP. Sementara KWSP menjangkakan tahun ini merupakan tahun yang sukar, KWSP tetap berpegang teguh kepada pendekatan strategi alokasi aset jangka panjang yang memberikan ketahanan dalam menghadapi keadaan pasaran yang mencabar masa kini.”




0 comments